Nama*: | Ng WN |
Tajuk*: | Baca kuat dari masjid |
Message*: | Selamat sejhtira ustas. Saya non muslim yang rumah hampir masjid taman saya. Tiap hari masjid itu baca baca kuat-kuat menganggu family kami. Gelisah kuat dia baca hari-hari, saya tak tahu apa dia sebut. Azan tu saya tahu yang lain tara tahu. Azan kami selalu ikut tv ada juga, tapi baca-baca banyak kuat. ustas, bulih ustas macam bagaimana kami mahu lalui ganguan ini ustas. terima kasih ustas |
File Upload: |
Terima kasih atas pertanyaan yang baik daripada saudara. Mohon maaf kerana agak lewat saya membalas dalam perkara ini. Saya kemukakan pendapat saya, yang tentunya pendapat saya ini tidaklah benar dan tentunya ia tidak boleh dipakai. Hanya pandangan pribadi semata.
GANGGUAN DARI MASJID
Persoalan ini melibatkan amalan umat Islam khasnya di
Malaysia. Ia berkait langsung dengan agama dan ditambah campur pula oleh budaya
orang Melayu yang telah lama sebati.
Bagaimana dan apa yang perlu kita perhatikan di sini?
Islam itu agama rahmat
Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam, ia
meliputi seluruh manusia, haiwan, flora dan fauna dan semua yang hidup di alam
maya ini. Islam agama rahmat bukan hanya kepada umat Islam dan penganutnya
sahaja, malah kepada semua manusia.
Buktinya telah jelas dalam lipatan sejarah tamadun Islam
zaman berzaman. Islam membawa keadilan, kemakmuran dan menghargai manusia itu
sebagai manusia. Islam melihat manusia dengan penuh penghomatan, kemuliaan atas
landas persaudaraan sejagat. Berbeza dengan kapitalis dan sistem lain yang
melihat manusia dari unsur kepentingan ekonomi, keperluan kenegaraan, kehendak
perkauman dan batasan sosio budaya yang
diwujudkan sendiri oleh akal manusia.
Atas dasar itu, Islam memberikan hak sewajarnya kepada warga
negara, baik muslim mahupun bukan muslim. Islam memberi hak dan kebebasan
beragama, bersosial (selagi ia tidak mencacatkan ruh keinsanan dan ketuhanan)
kepada muslim dan non-muslim.
Warga muslim jika dikenakan zakat, maka warga non muslim
dikenakan fidyah dengan syarat yang ketat dan difahami. Keadilan perundangan
bukan hanya kepada penganut Islam, malah kepada seluruh warga. Maka dengan adanya hak, kebebasan dan
keadilan itu, maka selayaknya kita menyebut Islam sebagai agama membawa rahmat
ke seluruh alam.
Hak-hak jiran
Islam menghargai hak-hak jiran, jiran yang muslim dan bukan
muslim. Seorang muslim yang baik tidak akan mengganggu jiran di sebelahnya.
Rasulullah dalam beberapa hadisnya menjelaskan;
“Sentiasalah Jibril berpesan kepadaku supaya berbuat baik
kepada jiran sehinggakan aku bersangka bahawa jiran itu berhak mewarisi harta
pusaka”
Begitu juga kisah seorang muslimah yang banyak ibadat
malamnya, siangnya banyak pula berpuasa sunat, hanya kerana lidahnya sering
kali menyakiti hati jiran. Lalu apabila diberitakan hal ini kepada Baginda
s.a.w, baginda menjelaskan “wanita ini
tempatnya di neraka!”
Allah berfirman yang bermaksud; (Maaf tidak lengkap, saya cuba kemas kini kemudian)
Wal jari zil junubi..
Jelasnya di sini, jiran perlu dijagai hak dan kehormatan
mereka. Jiran tidak boleh diganggui keselesaan mereka, jiran tidak juga boleh
diketepikan dalam sebarang urusan sosial, kecil atau besar.
Masjid dan persekitaran kini
Masjid adalah pusat ibadah umat Islam, pusat perpaduan dan
pusat aktivisme ummah sepanjang zaman. Mencontohi Masjid Nabawi pada zaman
Rasulullah sebagai pusat pentadbiran, pusat pendidikan, pusat mesyuarat
(syura), pusat ketenteraan, pusat perundangan dan kehakiman, pusat menerima dan
menyambut tetamu luar dan dalam negara; maka sejauh itu juga peranan masjid
pada masa kini.
Masjid bukan hanya tempat ibadah khususiyah seperti solat,
malah seharusnya menjadi pusat aktivitsme sosial, ekonomi, pendiidikan,
pengembangan insan dan pembinaan masyarakat seluruhnya (kepada muslim dan
non-muslim). Pun begitu, difahami peranan utama masjid itu kekal sebagai pusat
ibadah, khasnya solat yang diadakan pada setiap hari; lima kali sehari
berjemaah.
Ibadah Solat
Solat adalah ibadah paling utama di masjid. PErkara lain
adalah sampingan dan tambahan sahaja seperti kuliah agama, ibadah korban, maulid
Rasul, kursus haji dan sebagainya. Solat
berjemaah hendaklah menjadi keutamaan, oleh itu jika ada siri kuliah maghrib,
hendaklah kuliah itu dihentikan ketika masuknya waktu solat Isya. Solat Isyak
itu menjadi keutamaan kerana jemaah datang mahu berjemaah, dan jemaah musafir
yang singgah juga mahu berjemaah, bukannya mahu mendengar kuliah Maghrib yang
tidak pasti berapa lama lagi akan tamat.
Utamakan solat dalam seluruh program di Masjid. Lainlah
sesekali majlis besar seperti Maulid Rasul dan kita undang penceramah besar
dari luar, tidaklah mengapa dilewatkan solat Isyak atas kesedaran bersama
memanfaatkan majlis ilmu daripada orang tertentu pada majlis tertentu.
Azan dan Solat
Azan adalah syiar Islam. Azan perlu diperkuatkan untuk didengar
oleh penduduk sekitar. Azan bermaksud ‘panggil’ atau ‘ajak’. Panggil dan ajak
kenalah didengari suara pemanggilnya.
Azan adalah sunat dan sunnah Rasulullah s.a.w. Maka masjid
hendaklah memperdengarkan azan melalui pembesar suara yang sepatutnya.
Begitu juga iqamah ia perlu dilaungkan supaya memaklumkan
solat hendak didirikan segera.
Semasa solat juga, elok diperdengarkan bacaan solat ataupun
didengarkan kepada persekitaran kerana ia membantu jemaah untuk solat, selain
memaklumkan kepada jemaah yang datang itu, telah berapa rakaat yang disolatkan.
Zikir selepas solat
Zikir selepas solat adalah sunat untuk dilakukan secara
bersendirian. Ia tidaklah perlu diperbesarkan atau digunakan speaker luar
ketika berzikir sehinggalah bedoa dan mengamimkan doa, bahkan berselawat ketika
bersalaman.
Ketika zikir, elok sahaja dimatikan suiz speaker luar sama
sekali, dan jika mahu dihidupkan memadai dengan speaker dalaman sahaja.
Pada kes tertentu, zikir imam yang begitu kuat dan nyaring
adalah mengganggu jemaah lain yang sedang solat. Ingat, perbuatan imam berzikir
dengan kuat sehingga mengganggu jemaah bersolat ia adalah haram dan ditegah.
Para imam hendaklah bijak dalam hal ini, jika melihat jemaah ada bersolat lagi,
memadailah berzikir dengan nada yang perlahan dan mendamaikan. Bukannya
berzikir untuk melahirkan kegahan dirinya sebagai imam, sedangkan perbuatan itu
adalah haram dan ditegah. (Nampak bodohnya imam pada ketika itu).
Ini bermakna, masjid kenalah ada dua system pembesar suara,
satu untuk dalaman dan satu untuk luaran.
Solat Jumaat
Untuk solat Jumaat, khutbah adalah sebahagian daripada
solat, maka hendaklah khutbah itu diperdengarkan sebagaimana azan itu
diperdengarkan.
Kuliah dan ceramah di masjid
Siri kuliah dan ceramah biasa yang diadakan, hendaklah ia
menggunakan system pembesar suara dalaman sahaja. Memadai ahli jemaah dalaman
masjid sahaja mendengar syarahan berkenaan, orang luar itu tidaklah mereka mahu
mendengarnya lagi. Jika mereka mahu mendengar, datanglah beriktikaf di masjid.
Kuliah dan ceramah yang menggunakan system PA luar, akan
mengganggu hak-hak kejiranan walaupun ia kelihatan macam baik, tetapi dari
sudut hukumnya ia adalah salah dan tidak mendatangkan pahala kepada pengurusan
masjid. Ia termasuk dalam perkara mengganggu hak-hak jiran.
Bagaimana pula dengan membaca al-Quran dan bertarhim
MEmbaca al-Quran dan bertarhim (bacaan pada awal pagi
sebelum Subuh) adalah suatu yang sunat. Ia tidak menjadi sunnah untuk dibacakan
kuat-kuat untuk diperdengarkan oleh penduduk sekitar. Memadai dengan azan itu
sahaja sebagai laungan untuk mengajak berjemaah di masjid.
Untuk waktu Subuh, bolehlah dilakukan azan dua kali. Pertama mungkin 30 minit sebelum Subuh dan azan kedua setelah masuknya waktu Subuh. Ia menjadi sunnah Rasulullah dan wajar ia diamalkan.
Majlis Akad Nikah
Oleh kerana masjid tidak punyai system pembesar suara
dalaman, majlis akad nikah juga akhirnya menjadi besar diperbesarkan oleh
speaker luaran. Sedangkan penduduk setempat tidaklah perlu tahu dan tidak ada
keperluan untuk mengambil tahu siapa yang akan bernikah di masjid pada hari
berkenaan.
Islam Agama milik Penguasa
Islam agama yang benar, Islam agama yang harmoni, Islam
agama yang membawa rahmat kepada semua makhluk. Namun begitu, dalam konteks
politik dan pengurusan hari ini, Islam itu telah diurustadbir oleh penguasa.
Dalam sesetengah negeri, para Sultan yang berkuasa menentukan pengamalan Islam
yang bagaimana mahu dilaksanakan di negerinya.
Maka di sini, umat Islam akan terikut dan kena patuh dengan
apa sahaja arahan penguasa walaupun arahan itu ada kalanya tidak serasi dengan
kontens ajaran Islam, tidak sesuai dengan kehebatan Islam sebagai agama rahmat.
Apabila penguasa memerintahkan bacaan al-Quran perlu
diperdengarkan sepuluh minit sebelum masuk waktu solat, maka masjid dan surau
akan berbuat demikian. Ia adalah satu arahan yang mesti dibuat. Walaupun
sebenarnya al-Quran itu tidaklah perlu diperdengarkan oleh satu taman dan satu kampung.
Membaca al-Quran dan mendengar al-Quran ada adabnya tersendiri.
“Apabila dibacakan al-Quran, maka hendaklah kamu
dengarkannya, dan diamlah kamu.”
Itulah adab mendengar al-Quran dibacakan. Mana mungkin satu
taman akan mendiam diri setelah Pak Bilal membacakan al-Quran melalui corong
speaker masjid?
Jalan Penyelesaian
Bagi mengimbangkan kehendak Penguasa dan kerahmatan Islam
sebagai agama kepada seluruh manusia, saya cadangkan:
1. 1. Setiap masjid perlu mempunyai dua sistem pembesar
suara, satu untuk aktiviti dalaman dan satu lagi untuk aktiviti luaran (Azan,
khutbah jumaat dan syarahan perdana/ majlis khas). Manakala sistem pembesar
suara dalaman untuk zikir, kuliah mingguan dan aktiviti kecil yang lain.
2. 2. Menghadkan waktu bacaan al-Quran sebelum
masuknya waktu solat. Contohnya bacaan yang diperdengarkan ke luar itu
memadailah lima minit sahaja sebelum masuknya waktu solat untuk diazankan. Mungkin
lima minit itu boleh dibuat pada lima minit sebelum azan atau 15 minit sebelum
azan diperdengarkan al-Quran untuk tempoh lima minit sahaja. Perkara ini tidak
menjadi sunnah dan ia tidak menjadi sunat kepada pendengar, hanya sunat
(berpahala) kepada pembacanya sahaja, oleh itu kenapa perlu diperdengarkan
kepada orang ramai?
3. 3.. Pihak penguasa agama hendaklah membuka mata
dalam hal seperti ini. Ia menjadi warisan berzaman, lalu kita amalkan tanpa
pernah memikirkan kesan dan hukum yang bersangkutan dengan hak-hak kejiranan, hokum
mambaca al-Quran dan diperdengarkan, sunnah dan sunat yang diamalkan. Tidak
ramai penguasa yang faham san tahu, tetapi oleh kerana penguasa itu lebih
berkuasa maka orang yang tahu pun terpaksa mengikut kehendak penguasa,
sedangkan orang yang tahu itu sepatutnya memperbetulkan keadaan.
4. 4. Negara Islam kena ada Syiar Islam. Ini
sebahagian hujahan orang yang jahil tentang agama bagi membenarkan mereka
menguasai agama. Kejahilan beragama menjadikan mereka tidak tahu apakah yang
utama dalam menegakkan syiar Islam. Syiar yang
utama ialah menegakkan hukum Allah, menegakkan keadilan Islam,
mendirikan masjid dan mengimarahkan masjid, berjemaah di dalam masjid,
mewujudkan keharmonian masyarakat dan lain-lain.
Saya pernah ke Kemboja dan di sana
memang kita diperdengarkan dengan kuat alunan zikir para sami Buddha daripada
wat mereka. Zikir para saminya agak lama dan ia tidak pula dimengerti melainkan
mereka yang tahu sahaja. Apakah umat Melayu Islam di sini mahu meniru amalan
sami Buddha seperti itu sedangkan agama kita tidak mensyariatkan amalan
berkenaan sebagai ibadah?
5. 5. Bagi lebih adil dan harmoni, saya mencadangkan
aktiviti pusat ibadah (masjid, kuil, gereja, tokong, wat dll) di Malaysia perlu
diselaraskan agar kegiatan ibadah tidak mengganggu penghuni yang berjiran
dengan pusat ibadah. Ia termasuklah gangguan parking, kebisingan, bau busuk,
kesesakan laluan, laluan yang ditutup oleh sebab acara agama tertentu, dan
lain-lain perkara yang perlu difikir dan diharmonikan bersama.
Follow @emfteam on Twitter | Facebook
Powered by EmailMeForm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.