Wednesday, June 30, 2010

Soalan: Suami juga kena tunggu habis tempoh idah

Nama: agbr47
Alamat Email:
Tajuk: Suami juga kena tunggu habis tempoh idah
Message: Ada sedikit lagi tambahan maklumat dari http://peguamsyarie.org/?p=222. Baik juga kita fahmi dari sudut undang-undang.

Hak Muslim: Suami juga kena tunggu habis tempoh idah

Jawapan oleh Tuan Musa Awang

Perceraian elak lelaki salah guna sijil cerai untuk kahwin lain dan rujuk semula

Soalan:
SAYA dan isteri bercerai pada Ogos lalu. Dua minggu selepas tarikh cerai, saya ke Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan sijil cerai. Saya ingin bernikah dengan wanita lain. Malangnya, saya dimaklumkan oleh kakitangan bertugas bahawa saya juga perlu beridah seperti bekas isteri. Saya menjadi keliru dengan kenyataan itu. Adakah kaum lelaki juga perlu beridah? Setahu saya edah itu khusus untuk wanita atau isteri saja. Harap dapat penjelasan.

Hamba yang keliru,
Pulau Pinang.

Jawapan:
Sebelum menjawab kekeliruan saudara, kita fahami dulu definisi, kategori dan hikmah idah menurut syarak. Idah ialah tempoh masa menunggu bagi isteri yang diceraikan suami. Hikmah idah adalah untuk menentukan rahim isteri bersih daripada benih bekas suaminya.

Dalam perceraian talak raj'i, idah memberi peluang kedua-dua pihak berfikir semasak-masaknya, apakah perceraian yang berlaku itu memberi manfaat untuk mereka atau sebaliknya.

Idah terbahagi dua iaitu idah isteri yang kematian suami dan idah isteri bercerai hidup. Tempoh idah isteri yang kematian suami ialah jika isteri mengandung maka idahnya selepas melahirkan anak dan jika tidak mengandung, idahnya selama empat bulan sepuluh hari sama ada disetubuhi suami semasa hidup atau tidak.

Idah isteri yang bercerai hidup pula ialah jika mengandung maka idah tamat selepas kelahiran bayi dan jika tidak mengandung, edahnya ialah tiga kali suci bagi perempuan yang masih datang haid. Jika isteri yang diceraikan masih tidak disetubuhi maka tidak ada idah baginya.

Haram bagi suami bersetubuh dengan bekas isteri yang berada dalam tempoh idah raj'i, kecuali selepas berlaku rujuk. Ketika dalam tempoh idah, suami masih bertanggungjawab memberi nafkah makan minum, tempat tinggal dan pakaian kepada bekas isteri.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika mereka itu mengandung maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya itu." (Surah at- Thalaq, ayat 6)

Arahan Allah ini ditaqninkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang memperuntukkan: "Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah isteri atau bekas isterinya."

Balik kepada soalan saudara, secara umumnya memang idah khusus untuk isteri. Tetapi suami juga ada tempoh idah dalam keadaan berikut:

· Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj'i dan suami hendak berkahwin dengan perempuan yang haram dihimpunkan bersama dengan isterinya (contoh adik beradik isterinya) maka hendaklah suami menunggu sehingga habis tempoh idah isteri yang ditalak itu.

· Jika suami sudah mempunyai empat orang isteri, kemudian menceraikan salah seorang daripadanya dengan talak raj'i, untuk dia berkahwin satu lagi maka dia mesti menunggu isteri yang diceraikan itu habis tempoh idah terlebih dulu.

Dari segi praktik perundangan, suami juga tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain selagi tempoh idah talak raj'i dengan bekas isteri belum tamat. Jika dia tetap ingin meneruskan hasrat itu, maka dia hendaklah memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah.

Ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan sijil cerai dengan cara memanipulasi fakta dan keadaan. Berlaku kes di mana suami menggunakan sijil cerai itu untuk bernikah dengan wanita lain, tetapi kemudian dia kembali rujuk kepada isterinya yang masih dalam tempoh idah talak raj'i, tanpa memaklumkan kepada bekas isterinya itu bahawa dia sudah berkahwin lain. Akibatnya, dia mempunyai dua isteri pada masa sama. Perkara sebeginilah yang hendak dielakkan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, menurut pengalaman saya, sijil cerai masih boleh dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam jika suami membuat satu akuan berkanun bahawa dia tidak akan berkahwin lain sehingga tempoh idah isterinya tamat.

Nasihat saya, saudara sabarlah menunggu sehingga tempoh idah isteri tamat. Manalah tahu, Allah menampakkan hikmah dalam tempoh idah itu, Allah memberi petunjuk wanita itu tidak sesuai untuk saudara? Atau Allah bukakan hati saudara dan bekas isteri untuk kembali semula ke perkahwinan sebelumnya.


Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Visitor Ip: 121.120.66.73

1 comment:

  1. Hukum asal Islam, lelaki tidak ada edah seperti ini, selain kes berkahwin untuk isteri yang ke 5 (menceraikan isteri ke 4, dan hendak kahwin lain, maka lelaki berkenaan ada edahnya; edah sama seperti isteri keempat yang diceraikan).

    Cuma dalam kes perundangan dan beberapa maslahat semasa, pihak berkuasa menetapkan lelaki berkenaan perlu beredah.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

PERKAHWINAN BUKAN PERCERAIAN

Berkahwin adalah untuk selamanya. Saat 'aku terima nikahnya', adalah saat aku janji untuk mengekalkan perkahwinan selamanya. Ia bukan lagi bahan uji kaji, hendak dicuba-cuba tetapi kenyataan bahawa panas gelora badai hendaklah dilalui bersama-sama sebagai suami dan isteri.

Suami perlu mendalami ehwal agama, khasnya soal nikah kahwin dan hukum hakamnya. Isteri boleh membantu.

Gelora apapun dalam rumah tangga berada di pundak bahu seorang suami. Masalah isteri, masalah anak-anak dan seribu dugaan dalam rumah tangga, adalah bergantung kepada nakhodanya, sang suami.

Perkataan cerai, talak dan berpisah seharusnya tidak pernah wujud dalam kamus dan dalam ucapan suami. Suami tidak boleh sama sekali bermain-main dengan kata-kata talak, cerai dll. Ia wajib dipadamkan dalam kalbu, ingatan apatah lagi lisan seorang suami. Suami sebagai ketua, sebab itulah hak cerai itu diberikan kepada suami.

Yes, ya, kita bergaduh dan selalu berselisih dalam rumah tangga, namun asam garam itu hendaklah ditangani sebaiknya. Isteri perlu kurangkan egonya, begitu juga suami. (Lelaki amat sukar merendahkan egonya, tetapi jika perempuan itu bijak dan tahu menghargai suami, keegoan lelaki akan mudah luntur).

Biar badai gelora bertempur, tetapi ungkapan CERAI usah disebut oleh suami!

Berkahwin untuk selama-lamanya, bukan suka-suka atau mahu mencuba!

Anda ada persoalan yang belum terjawab?
Sila tanya Ustaz.

About Me

My photo
Universiti ada dalam dalam diri kita; ada fakulti sastera, fakulti sains, fakulti politik, fakulti pendidikan, fakulti pengajian Islam dan banyak lagi. Medium ini adalah sebuah univertisi yang termampu untuk dikongsi bersama.. Untaian Tarbiyah:Dilahirkan di Pondok Padang Nyior, dibesarkan dalam majlis ilmu oleh ayah dan Pak Teh dan persekitaran tradisi ilmu dan budayanya. SK Padang Terap (1972-1977) Maktab Mahmud, Alor Setar (1978-1981) Kolej Islam Kelang (1982-1985) UKM:Fak Pengajian Islam (Arab Tamadun) (1986 - 1990) UTM (Msc Ed Mgt & Admin)1998-2000 Kerjaya: Kilang Gula Padang Terap (selepas SPM) Guru SM Ag Ahmadiah (selepas STPM) Guru SM Pend Khas, Setapak (1990- 91) Tutor UKM (1990-1991) UiTM Sabah (1991 -1996) UiTM Johor (1996 - kini) Layari juga laman Surau Al-Muhajirin dan laman blog YANG LAMA-LAMA